Faisal Tehrani tampil lagi dengan buah tangan terbaharunya, Perempuan Nan Bercinta yang dikatakan sebagai novel yang paling provokatif setakat ini, merupakan novel yang saya harus kaji untuk kursus Che Abdullah bin Che Ya pada semester ini. Melihat kepada tajuknya saya begitu terpesona sekali untuk mengkaji novel ini namun, apabila saya membaca isi kandungannya tidak seperti yang saya duga. Banyak makna yang tersirat dan tersurat yang ingin disampaikan oleh pengarang. Saya terkejut dan beristigfar. Namun saya teruskan juga pembacaan itu. Banyak perkara dan persoalan yang bermain dalam benak fikiran saya ini sehinggakan akal sendiri tidak mampu menelaahnya. Namun, saya percaya Faisal Tehrani ada jawapan yang tersirat yang ingin disampaikan melalui novel yang dikarangnya walaupun sesiapa yang membaca sedikit tergugat keimanannya. Saya kuatkan imam saya untuk terus membaca novel ini sehingga ke noktah penghabisan.
SINOPSIS NOVEL
Perempuan Nan Bercinta (PNB) yang merupakan sekuel kepada novel Tuhan Manusia (TM) memfokuskan kepada watak Dr. Ali Taqi yang telah dewasa. Sekiranya TM lebih merujuk kepada pencarian gigih Ali Taqi ketika remaja tentang terminologi dan epistemologi bagi konsep pluralisme dalam agama sebagai reaksi kepada kemurtadan abang kandungnya Talha, PNB pula lebih memfokuskan kepada kehidupan Dr. Ali Taqi yang telah dewasa menghadapi pelbagai persoalan dan pertembungan pemikiran daripada orang sekelilingnya yang terdiri daripada pelbagai idealisme.
Bermula dengan Tengku Idora, seorang pejuang femenisme dan merupakan sarjana pengasas pertubuhan Modest Women Oriental (MWO) yang akhirnya menderita sakit setelah pengsan ketika sesi perbahasan bersama Dr. Ali Taqi, selepas itu disusuli dengan cerita Hashemi, suami kepada Zanjabila (kakak kepada Tengku Idora) menjejak dan mendekati peribadi Dr. Ali Taqi dalam memahami diri tokoh tersebut dengan lebih mendalam, kemudian bergerak pula kepada kisah anak Dr. Ali Taqi, Siti Fatimah yang merupakan seorang gadis lasak menemui cintanya kepada Mustafa Chamran di Lubnan.
Konflik berlaku apabila Mustafa Chamran mengajak Siti Fatimah berkahwin sementara (muta’ah) yang perkara ini tidak dipersetujui oleh Dr. Ali Taqi. Selepas itu, bergerak pula kepada kisah Tengku Idora yang telah bersuamikan Bastian (bekas seorang ateis yang gigih mencari kebenaran Islam dan akhirnya memeluk Islam) yang akhirnya telah insaf daripada ideologi femenismenya sebelum ini selepas menderita penyakit ganjil yang tiada harapan sembuh tetapi berlaku kesembuhan ajaib dengan izin Allah selepas mengerjakan umrah.
Klimaks penceritaan berfokus kepada penangkapan Dr. Ali Taqi yang didakwa oleh WikiLeaks sebagai seorang ejen Iran dan sekaligus ejen Syiah. Peleraian cerita berlaku secara tergantung dan ironi saya kira apabila hanya menyodorkan tentang Siti Fatimah yang sedang diwawancara oleh wartawan tempatan dan antarabangsa dalam mempertahankan kebenaran Dr. Ali Taqi dan diakhiri dengan ucapan, “Jika Dr. Ali tidak mendapat keadilan yang sepatutnya. Maka, saya Siti Fatimah Ali Taqi, seorang perempuan nan bercinta akan bangun melawan.”
PERTEMBUNGAN WACANA PADA SATU TITIK IDEOLOGI
Wacana-wacana yang dimuat dalam novel ini amat rencam dan bersifat kontrovesional serta provokasional. Pemilihan wacana yang relevan dengan keadaan semasa memperlihatkan kegeniusan pengarang yang mempunyai kesedaran untuk cakna dan menawarkan penyelesaian terhadap penyakit ummah yang berlaku. Sekurang-kurangnya, terdapat 14 wacana yang dapat saya kesani dalam novel ini, iaitu:
i) Feminisme
ii) Islam kebudayaan
iii) Persuratan Islam
iv) Terminologi ilmu
v) Sejarah dan perkembangan Sunni – Syiah
vi) Perkembangan Salafi-Wahhabi
vii) Kritikan terhadap metodologi mujtahid
viii) Keraguan terhadap kesahihan asbabun nuzul Surah Al-‘Alaq
ix) Pluralisme agama
x) Teknik dakwah
xi) Politik Lubnan dan Hezbollah
xii) Masalah tasawwul
Wacana-wacana yang disuguhkan sememangnya sebuah wacana pembangunan pemikiran yang jarang-jarang digarap oleh penulis lain dan berupaya “memaksa” pembaca untuk melakukan kajian yang lebih terperinci terhadap isu-isu yang ditimbulkan. Saya tidak ada masalah untuk itu.
PERSOALAN YANG TIMBUL DAN PENGKRITIK NOVEL PEREMPUAN NAN BERCINTA
1. Dari blog Abu Haseef - Faisal Tehrani FT secara bacul berselindung di sebalik karya sastera ala novel cinta untuk menyerang dan menghukum Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Dalam tulisannya di malaysiakini dia cuba membayangkan kononnya Syiah tiada masalah untuk berdamping dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
2. Komen dari blog Cinta Dominasi Segala - "Ini novel syiah. Pada 9 Julai 2012 Ustaz Aizam Masood akan sentuh racun Syiah bawaan Faisal Tehrani dalam buku Perempuan Nan Bercinta di Masjid Nurul Yaqin SS7 Kelana Jaya lepas Maghrib.InsyaAllah."
3. Dari akhbar Sinar Harian - Penulis terkenal Faisal Tehrani, yang menyertai Persatuan Penulis Kaum India Malaysia (Kavyan) sebagai Ahli Kehormat semalam, mengharapkan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar novel terbarunya,Perempuan Nan Bercintatidak diharamkan oleh pihak berkuasa.
4. Petikan dari blog Oh Buku - Pembaca yang baik tidak terburu-buru melabelkan karya ini sekuel kepada Tuhan Manusia sekadar mengekalkan nama watak seperti Dr. Ali Taqi dan keluarganya, Khadijah si isteri, Hussein, Zainab, dan Siti Fatimah anak-anaknya. Seperti Tuhan Manusia, Ali Taqi meneruskan jihad terhadap jalur-jalur pemikiran barat.



0 comments:
Post a Comment